Hasil
daripada sumber kajian arkeologi didapati terdapat kesan penggunaan tanah sejak
beribu-ribu tahun dahulu oleh sekumpulan kecil manusia pada masa itu. Jumlah
sekumpulan kecil manusia itu dipercayai sebanyak 20 orang sahaja. Pada ketika
itu, manusia hanya menjalankan aktiviti pra-pertanian seperti memburu,
menangkap ikan, memungut tanaman hutan dan madu. Masyarakat pada peringkat ini
dikenali sebagai masyarakat “Pemburu dan Pengumpul” (Hunting and Gathering
Society).
Bentuk
pertanian pada peringkat awal adalah primitif. Namun perubahan demi perubahan
berlaku dengan membiak-baik tumbuhan melalui proses-proses pemilihan dan
sebagainya. Pertanian dan penternakan yang dahulunya di jalankan secara meliar
telah diubah corak penjagaannya dengan membentuk satu komuniti pertanian yang
lebih besar berbanding dengan kaedah pertanian pada peringkat awal. Pelbagai jenis
tanaman yang telah terhasil kesan daripada proses pemilihan dan penanaman dan
kemudiannya ia dipindahkan ke tempat-tempat lain di dunia ini.
Iklim
adalah salah satu faktor yang mempengaruhi pertumbuhan tanaman sehingga
menyebabkan sebaran atau taburan spesis tanaman ke merata pelosok dunia.
Kawasan pertanian awal yang dikesan bermula pada tahun 6000 s.m yang
menjalankan aktiviti pertaniannya di kawasan Asia Barat berhampiran dengan
lengkungan Lembangan Sungai Trigis. Antara tanaman yang di tanam di kawasan
yang
subur ini adalah seperti tanaman barli,
tanaman kurma, tanaman buah lai, tanaman buah delima, tanaman bawang dan
tanaman kekacang. Terdapat juga tanaman buah epal ditemui di tanam di kelliling
Lautan Hitam atau Kaspian.
Diantara
aktiviti ekonomi dunia yang paling penting ialah bidang pertanian. Pertanian
ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, penternakan dan perhutanan.
Ia merupakan perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun, dengan
penanaman dan penternakan mewujudkan lebihan makanan dan seterusnya membolehkan
pembangunan masyarakat yang lebih padat dan berstrata (Wikipedia:Ensiklopedia
Bebas).
Kajian
pertanian dikenali sebagai Sains Pertanian. Ilmu pertanian atau agronomi moden
menerangkan mengenai pembiakbakaan tumbuhan, racun perosak dan baja. Pertanian juga menerangkan
tentang teknik pertanian seperti cara bagaimana meluaskan tanah untuk bercucuk
tanam dengan membina terusan air dan bentuk pengairan yang lain.
Sektor
pertanian telah memainkan peranan yang penting di dalam pembangunan sosial dan
ekonomi di Malaysia. Pada masa itu, kegiatan pertanian adalah pertanian sara
diri dan tradisional. Sehinggalah pada tahun 1887 perkenalan tanaman industri
iaitu industri getah mula di tanam di Kuala Kangsar, Perak. Ini telah
menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama getah asli dunia untuk beberapa
abad sehinggalah akhir tahun 1980an. Peningkatan teknologi telah menambahkan
hasil tanaman secara mendadak. Ini dapat dilihat pada KDNK negara Malaysia
sebanyak 12% terbentuk daripada pertanian. Lebih kurang sebanyak 16% daripada
rakyat Malaysia melibatkan diri mereka dalam bidang pertanian.
Kerajaan
pada masa sekarang memberi tumpuan yang lebih kepada sektor pertanian. Ini
kerana aktiviti pertanian bukanlah lagi bersifat keperluan sara hidup diri
malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya. Kini pertanian
adalah satu perniagaan. Ia bertujuan untuk mentransformasikan negara Malaysia
daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian. Kerajaan
telah melakukan banyak perubahan untuk pembangunan di dalam bidang pertanian.
Keadaan in dapat dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan
taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambahkan hasil
pendapatan negara. Masyarakat perlu mengubah persepsi mereka terhadap bidang
pertanian yang di anggap tidak memberi keuntungan kepada mereka. Ini kerana
visi ‘Pertanian adalah perniagaan’ semakin diberi penekanan oleh kerajaan agar
penglibatan masyarakat di dalam bidang ini akan terus berkembang maju.
Masyarakat juga perlu lebih berani untuk mengambil risiko dan cuba melakukan
aktiviti pertanian serta mula berbakti kepada tanah. Pertanian tidak terhad
kepada faktor umur malah perlu diceburi oleh seluruh lapisan masyarakat.
2.0 KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Bidang
pertanian telah memainkan peranan yang penting awal tahun 1920 an kepada negara
menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah
asli utama dunia sehingga tahun 1980 an. Bagi negara-negara yang sedang
membangun seperti Malaysia, bidang pertanian merupakan bidang yang terpenting
bagi negara tersebut. Bidang pertanian merupakan bidang yang memberi sumbangan
kepada pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi negara dalam era selepas
merdeka.
Namun
kini bidang pertanian beransur-ansur dipandang sunyi dengan kepesatan
pembangunan dan kemajuan negara. Generasi muda tidak lagi berminat untuk
meneruskan pekerjaan turun temurun dan mereka lebih berminat untuk berhijrah ke
bandar-bandar mencari peluang pekerjaan yang lebih dan menawarkan pendapatan
yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian. Ini kerana imej
pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki kemudahan
sosial yang lebih baik. Kerajaan
telah melakukan pelbagai usaha untuk pembangunan bidang pertanian ini. Kerajaan
mahu melihatkan bahawa bidang pertanian mempunyai masa depan yang cerah dan
menguntungkan. Bidang pertanian sebenarnya dapat memberi sumbangan yang besar
kepada negara. Dasar Pertanian Negara menjadi garis panduan kepada pembangunan
bidang ini.
Aktiviti
pertanian yang produktif serta cekap adalah penting bagi penghasilan sumber
makanan yang banyak. Kepentingan bidang pertanian dapat dilihat sangat tinggi
apabila meningkatnya permintaan kepada bahan asas tani seperti sayuran dan
sumber lain untuk kegunaan harian. Bidang pertanian membekalkan bahan mentah
kepada sektor ekonomi sekunder negara dan pemprosesan makanan. Hasil daripada
bidang pertanian ini merupakan input yang digunakan dalam proses pengeluaran
bahan makanan yang boleh dijadikan
sebagai produk eksport. Diantara eksport makanan yang menggunakan hasil
pertanian adalah seperti mentega, serbuk koko, serbuk lada hitam dan
sebagainya. Kos pengeluaran juga dapat diminimumkan memandangkan harga bahan
mentah yang dibekalkan oleh bidang pertanian adalah murah berbanding dengan
pasaran antarabangsa. Selain itu antara kepentingan bidang pertanian kepada
negara ialah :
i)
Mengelakkan krisis bekalan
makanan dan memastikan bekalan makanan mencukupi
Malaysia
adalah salah satu negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Kerajaan
telah berusaha untuk membangunkan penuaian padi dua kali setahun. Secara
tradisionalnya pengeluaran padi pada masa lalu hanya sekali setahun. Tetapi
dengan kemajuan teknologi dan infrastruktur telah membolehkan pengeluaran padi
sebanyak dua kali setahun. Keadaan ini dapat menampung permintaan masyarakat
Malaysia selain kerajaan mahu mengurangkan import beras dari Thailand.
Pengurangan kebergantungan kepada negara luar dapat mengurangkan pengaliran
matawang ke negara luar dan dapat meningkatkan ekonomi dalaman negara. Kerajaan
juga sedang melakukan penyelidikan untuk menghasilkan pengeluaran beras lima
kali setahun. Ini adalah kerana pertumbuhan penduduk negara yang semakin
meningkat. Disamping itu, negara Malaysia mempunyai tanah yang amat sesuai
untuk dimajukan dalam bidang pertanian seperti tanaman kopi, bijirin dan juga
koko. Jika keperluan ini mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Malaysia,
maka bahan yang diimport dari negara luar dapat dikurangkan.
ii)
Mewujudkan peluang pekerjaan
dan mengurangkan jumlah pengangguran
Bidang
pertanian dapat menyediakan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat Malaysia.
Ini kerana negara kita mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan bergantung
kepada kerajinan individu tersebut. Tenaga buruh dapat dibekalkan melalui
peluang pekerjaan yang terbuka apabila pengusahaan tanah untuk tujuan pertanian
dilakukan. Definisi pekerjaan dalam bidang pertanian bukan sahaja bekerja di
ladang malahan meliputi pemprosesan dan pemasaran. Bidang ini tidak memerlukan
kelulusan yang tinggi. Pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dalam bidang pertanian
membuka tawaran kursus kepada masyarakat yang berminat dalam bidang pertanian
untuk mendapatkan ilmu dan sebagainya. Bidang pertanian dapat mengurangkan
jumlah pengangguran negara dan dapat menambahkan jumlah pendapatan isi rumah. Jurang
kemiskinan dapat dirapatkan melalui pembangunan bidang pertanian ini. Keadilan
sosial dan pengagihan kekayaan yang seimbang dapat dicapai. Sebagai salah satu
usaha kerajaan yang efektif ialah skim Felda dimana tanah pertanian yang luas
diagihkan mengikut nisbah yang sama rata kepada penduduk desa untuk dimajukan.
iii)
Meningkatkan pendapatan
negara dan sosio ekonomi masyarakat.
Bidang
pertanian bukan sahaja memberi manfaat kepada pengusahanya malah ia juga dapat
meningkatkan pendapatan negara dan seterusnya sosio ekonomi masyarakat. Negara
akan menambahkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengeksportan
tanaman komersial seperti kelapa sawit dan lada hitam. Malaysia merupakan
pengeluar kedua terbesar di dunia bagi pengeluaran getah dan minyak kelapa
sawit. Kerajaan melalui agensi-agensi pelaksana banyak melakukan perubahan
daripada aspek proses dan keperluan jentera. Melalui Institut Penyelidikan dan
Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, Malaysia telah banyak menghasilkan
pelbagai variasi, klon dan tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang terkini.
Oleh yang demikian, pengusaha ladang dapat menggunakan teknologi-teknologi ini
dan seterusnya meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran. Dengan keadaan
ini hasil pendapatan negara akan bertambah dengan mengeksport pengeluaran
tanaman yang bermutu tinggi kepada negara luar. Pengaliran matawang Malaysia
keluar negara dapat dikurangkan dan ianya memberi kebaikan kepada pertumbuhan
ekonomi negara. Kedudukan kewangan negara melalui pembangunan bidang pertanian
dapat dikukuhkan melalui keseimbangan Indeks Imbangan Perdagangan iaitu Indeks
harga hasil eksport dan belanja import.
3.0 POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
Peringkat
awalnya, fungsi bidang pertanian adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia
iaitu membekalkan makanan yang mencukupi kepada masyarakat. Keadaan ini berubah
apabila meningkatnya tamadun manusia maka fungsi pertanian juga turut berubah.
Bermulanya hanya pertanian untuk sara diri dan kini ia bertukar menjadi pertanian
untuk perniagaan. Berbudi kepada tanah akan memberi hasil yang menguntungkan
kepada pengusahanya. Bidang pertanian kini menjadi satu bidang perniagaan di
mana para pengusaha ladang menjadi usahawan dan hasil-hasil tanaman mereka itu
dijual kepada orang ramai.
Memetik
kata-kata daripada mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Abdullah
Ahmad Badawi, beliau menyatakan bidang pertanian perlu menjadi sektor moden,
dinamik dan berpendapatan lumayan melalui tranformasi yang akan dilakukan
kepada bidang pertanian ini. Beliau ingin mengubah tanggapan masyarakat bahawa menjadi
petani perlu bertungkus lumus di bawah sinar matahari dan mendapat hasil yang
tidak setimpal dengan titik peluh yang dicurahkan dan sememangnya kurang
menarik minat golongan muda dapat disangkal dengan usaha pemerkasaan bidang
pertanian ini. Selama bertahun-tahun
bidang pertanian ini tidak begitu popular kerana secara umumnya pertanian
dianggap suatu mata pencarian yang memberi pulangan yang rendah dan hanya untuk
mereka yang tidak atau kurang berpelajaran.
Melalui
Rancangan Malaysia Kesembilan (RM9), bidang pertanian dijadikan sebagai penjana
pertumbuhan yang ketiga selepas pengilangan dan perkhidmatan. 37% rakyat
Malaysia tinggal di kawasan luar bandar dan 7 daripada 13 buah negeri di
Malaysia mempunyai kawasan tanah desa yang luas. Potensi untuk menjana sumber
pendapatan melalui bidang pertanian dalam perniagaan terbuka luas. Penjanaan
sumber baru pertumbuhan ekonomi dapat membantu merapatkan jurang sosio ekonomi
rakyat dan dapat menghapuskan kemiskinan. Bidang pertanian dapat menghasilkan
keuntungan yang tinggi jika ia diurus secara professional, pengurusan aspek
kewangan yang baik, pemasaran, pembangunan sumber manusia, teknologi, logistik
dan rantaian nilai. Ia juga dapat memberi keuntungan yang besar kepada pelabur
serta pengusaha apabila pengusaha amat menitik beratkan beberapa aspek
termasuklah kuantiti dan kualiti maka hanya pasaran bagi hasil yang akan dijual
pasti akan meningkat. Penghasilan produk akan lebih bermutu apabila
penambahbaikan daripada aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan serta
pemasaran diberi keutamaan.
Selain
itu, galakkan dan insentif yang diberikan daripada kerajaan khusus kepada
peniaga, petani serta pekebun kecil dapat meningkatkan keyakinan dan semangat
mereka untuk meneruskan perniagaan dalam bidang pertanian ini. Amalan agronomi
yang baru, pengurusan ladang secara moden dan penggunaan jentera baru serta
teknologi terkini turut menggiatkan ‘Amalan Pertanian Baik’ (ABP) iaitu satu
pendekatan serta sistem pengembangan pertanian oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
Jabatan Pertanian Malaysia ini bertanggungjawab memastikan pengeluaran hasil
pertanian lebih berkualiti serta selamat untuk dimakan.
Melalui
perkenalan konsep agro-pelancongan telah menjadikan bidang pertanian sebagai
satu bidang perniagaan yang menguntungkan. Konsep ini berkembang pesat
berikutan Malaysia yang kaya dengan keindahan alam semulajadi. Pelbagai
aktivviti yang berkaitan dengan bidang pertanian serta peladangan disediakan
untuk para pelancong. Perniagaan pertanian melalui konsep agro-pelancongan ini
menarik minat para pelancong luar negara untuk melihat keindahan alam flora dan
fauna di negara Malaysia. Berbagai-bagai aktiviti yang dijalankan melalui konsep agro-pelancongan ini. Di antara
aktiviti yang dijalankan adalah seperti lawatan ke dusun buah-buahan dan ladang
ternakan, penyelidikan , homestay dan sebagainya. Disamping itu tetamu juga
diajar tentang teknik pertanian moden yang digunakan.
Salah
satu produk pertanian yang popular di Malaysia ialah tanaman teh. Penanaman teh
di kawasan –kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highland telah mengangkat
nama Malaysia sebagai salah satu negara pengeluar teh berkualiti tinggi di
asia. Penubuhan Industri Kecil Sederhana atau IKS adalah salah satu
perkembangan yang menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan. Ia dapat
meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan menaikkan taraf hidup
mereka. Kepesatan industri pertanian pada sesebuah negara sememangnya membawa
kepada keuntungan yang besar kepada negara itu sendiri.
4.0 CABARAN / HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN
BERASASKAN PERTANIAN
Perkembangan
bidang pertanian secra komersial di negara kita sejak 50 tahun yang lalu
menunjukkan penglibatan yang kurang daripada golongan belia walaupun bidang
pertanian in menjadi antara bidang yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK). Bidang Pertanian ini termasuklah usaha penternakan, penanaman,
perikanan dan industri hiliran. Bidang pertanian secara komersial adalah kegiatan
pertanian yang dijalankan dalamn bentuk perladangan dengan hasil produktiviti
dalam jumlah yang besar, jumlah keluasan tanah yang diusahakan, berdaya maju
dan dimajukan dengan tanaman yang berpotensi untuk jualan. Dengan ini
pendapatan akan meningkat dan nilai guna tanah bertambah untuk pulangan yang
bersifat komersial.
Namun
begitu bukan mudah untuk meletakkan bidang pertanian sebagai bidang perniagaan.
Ia perlu bersaing dengan bidang-bidang yang sedia ada yang lebih kukuh dan
lebih diberi tumpuan oleh masyarakat. Dalam menstransformasikan bidang
pertanian sebagai perniagaan telah menemukan pelbagai cabaran dan halangan
dalam merealisasikannya. Diantara cabaran dan halangan bidang perniagaan
berasaskan pertanian dilaksanakan adalah seperti berikut :
i)
Keperluan Penggunaan Sumber
Secara Optimum
Tanah,
air dan buruh merupakan sumber yang diperlukan dalam bidang pertanian.
Kebanyakkan tanah-tanah yang ada di muka bumi Malaysia ini dibangunkan untuk
tujuan perindustrian dan perumahan. Ini telah menyebabkan penawaran tanah agak
terhad dan harga tanah menjadi mahal. Penggunaan tanah untuk pertanian di
pengaruhi oleh keadaan ini. Di samping itu isu pemilikan tanah juga menjadi
antara cabaran dan halangan menjadikan bidang perniagaan berasaskan pertanian.
Pemilikan tanah oleh petani-petani adalah di dalam lot-lot kecil dan
berselerak. Pembahagian tanah telah menyebabkan pengurangan keluasan kebun dan
ini menyulitkan penggunaan teknik pengeluaran yang baik. Lot-lot tanah yang
berselerak ini memerlukan lebih banyak masa, tenaga dan belanja, kelengkapan
dan bahan pertanian lain. Pemecahan lot ini menyukarkan penggunaan
infrastruktur baru atau teknik serta input baru.
Gunatenaga buruh di dalam bidang
pertanian ini juga menjadi salah satu cabaran dan halangan bidang perniagaan
berasaskan pertanian. Kebanyakkan tenaga buruh lebih tertumpu kepada bidang
perindustrian. Malaysia terpaksa mengguna tenaga buruh dari Indonesia dan
Bangladesh di dalam bidang pertanian ini. Penglibatan generasi anak muda zaman
sekarang kurang berminat untuk menceburi di dalam bidang pertanian ini. Mereka
merasakan bidang pertanian in tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan dan
lebih tertumpu kepada bidang pengilangan dan perindustrian di mana
bidang-bidang tersebut lebih terjamin dan stabil. Jumlah tenaga buruh yang
terhad ini menyukarkan bidang pertanian ini bersaing dengan bidang-bidang yang
lain di dalam perniagaan.
ii)
Kekurangan Pembiayaan dari
Institusi Perbankan
Sektor perbankan lebih berminat
membiayai bidang ini sekiranya diwujudkan insurans pertanian bagi mengurangkan
risiko petani dan pemberi pinjaman. Keadaan ini menjadi satu cabaran dan
halangan menjadikan pertanian sebagai bidang perniagaan. Pihak perbankan tidak
begitu berminat untuk membiayai bidang pertanian ini adalah kerana risiko yang
dihadapi adalah lebih tinggi. Ianya juga sukar dikawal dan diramal. Contohnya
seperti jangkitan penyakit, banjir, tanah runtuh, kemarau dan bencana alam yang
lain.
Kelemahan dalam menyediakan kertas
kerja untuk tujuan pembiayaan juga menjadi salah satu cabaran dan halangan
menjadikan bidang perniagaan berasaskan pertanian. Keadaan ini menjadikan
institusi perbankan kurang berminat untuk membiayai bidang pertanian ini.
iii)
Kekurangan Modal untuk
Penggunaan Teknologi Moden
Kekurangan
modal untuk mendapatkan penggunaan teknologi moden juga menjadi cabaran dan
halangan menjadikan bidang perniagaan berasaskan pertanian. Teknologi moden
berpotensi memberikan manfaat yang besar dan boleh mendatangkan hasil yang
lumayan. Akibat daripada masalah ini juga menyebabkan petani dan pengusaha
dalam bidang pertanian ini kekurangan benih atau klon yang berdaya pengeluaran
tinggi dan terkini. Disamping itu penggunaan baja dan bahan kimia secara
optimum dan betul juga tidak dapat digunakan bagi meningkatkan jumlah pengeluaran.
Modal juga diperlukan untuk menampung kos-kos pengeluaran. Pengusaha pertanian
menghadapi masalah untuk pusingan modal dalam aktiviti pertanian. Pengeluaran
pertanian dapat ditingkatkan sekiranya wujud kemudahan kredit dan penggunaan
input pertanian serta penggunaan teknologi terkini pertanian dan dirancang
dengan baik dari segi penghantaran dan penggunaannya.
5.0 SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Kerajaan
Malaysia sentiasa prihatin dalam membantu dan memberi sokongan usahawan yang
menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan pertanian. Kerajaan di pelbagai
peringkat memainkan peranan yang penting dalam membantu usahawan dalam
perniagaan berasaskan pertanian ini. Kerajaan menekankan pengeluaran hasil
pertanian secara komersial yang berorientasikan teknologi moden di dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Kesedaran mengenai peranan dan sumbangan
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mula diambil perhatian oleh pelbagai pihak.
Ini selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara Ketiga, (1998-2010) untuk
meningkatkan jaminan bahan makanan (food security) negara melalui transformasi
modus operandi pertanian yang berorientasikan komersial, meningkatkan
produktiviti dan daya saing sektor pertanian melalui pemindahan teknologi,
mewujudkan rantaian antara bidang pertanian dengan bidang lain serta menjana
sumber pertumbuhan secara lestari (Malaysian Business 2004).
Pelbagai
program dirangka dan dilaksanakan oleh agensi kerajaan dalam pembangunan
Industri Pertanian Kecil dan Sederhana. Bidang pertanian dapat memberi sumber
pertumbuhan yang baru daripada hasil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan
pertumbuhan kumpulan industri baru seperti perhutani (agroforestry), produk
asli istimewa, buluh dan rotan, produk bioteknologi, florikultur dan ikan
hiasan. Kementerian yang bertanggungjawab didalam memberi bantuan dan sokongan
kepada perniagaan berasaskan pertanian ialah Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani. Kementerian ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas bidang pertanian
termasuk bidang perikanan dan bidang ternakan. Diantara bantuan dan sokongan
yang dilakukan oleh kerajaan kepada perniagaan berasaskan pertanian ialah :
i)
Penyelidikan dan Pembangunan
(R&D)
Institut Penyelidikan dan Pembangunan
Pertanian Malaysia (MARDI), ditubuhkan untuk memenuhi matlamat dalam memajukan
dan menggiatkan teknologi bersesuaian yang baru melalui
penyelidikan-penyelidikan yang dilakukan dalam bidang pertanian ini. Tujuan
dilakukan penyelidikan adalah untuk meningkatkan penghasilan dan keberkesanan
dengan memodenkan bidang pertanian selain membantu meningkatkan pulangan kepada
pengusaha dan petani. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga turut membantu
dalam bidang pertanian khususnya dalam tanaman kelapa sawit. Lembaga ini bertujuan membangunkan industri
sawit negara. Industri ini merupakan bahan eksport utama ke luar negara
contohnya pemasaran ke Amerika Syarikat. Hasil daripada penyelidikan dan
pembangunan ini juga membawa kepada penemuan teknologi dan inovasi baru untuk
dikomersialkan. Contohnya penggunaan biojisim dan biodiesel, penjenteraan
ladang serta kawalan serangga dan penyakit.
ii)
Pemasaran dan Pengedaran
Pameran pertanian, Horikultur dan
Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) merupakan pameran pertanian yang diadakan oleh
kerajaan bagi tujuan pemasaran dan pengedaran. Dengan adanya aktiviti pameran
seperti ini ia dapat menarik bidang pertanian ke luar negara untuk bersama-sama
memajukan bidang pertanian. Ia juga dapat membantu menghubungkan hubungan dua
hala Malaysia dengan negara luar lain. Pertanian hiliran juga boleh dilakukan
untuk memasarkan sesuatu produk yang lebih lama ke pasaran antarabangsa.
Contohnya seperti buah pisang yang dijadikan kerepek pisang dan dijual ke
pasaran antarabangsa.
iii)
Bantuan Kewangan dan
Perundingan
Bank Pertanian khususnya dapat
memberi pembiayaan kepada petani untuk memulakan projek pertanian mereka. Di
samping itu, pembiayaan juga dapat membantu untuk pembelian jentera bagi
menggantikan tenaga manusia dan membeli
benih yang lebih bermutu. Skim pinjaman dengan kadar yang rendah perlu
disediakan terutamanya kepada pekebun kecil. Contohnya Agro Bank membantu
menyediakan pembiayaan kepada pengusaha IKS yang berasaskan pertanian.
Pembiayaan daripada agensi kerajaan seperti TEKUN, MARA, PUNB dan Tabung
Ekonomi Belia juga memberi kemudahan kepada para pengusaha dan petani. Agensi
ini banyak membantu terutama dalam memberikan pembiayaan dan modal permulaan
dalam sesebuah perniagaan. Dengan bantuan daripada agensi ini sedikit sebanyak
dapat meringankan beban yang ditanggung oleh bakal usahawan.
6.0 KESIMPULAN
Bidang
pertanian bukanlah satu bidang yang dikategorikan sebagai kelas kedua. Ini
kerana bidang pertanian ini adalah penting dalam membekalkan makanan kepada
masyarakat. Jika tiada usaha untuk pembangunan bidang pertanian ini maka negara
akan mengalami masalah krisis bekalan makanan akibat daripada bekalan makanan
tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat. Disamping
itu keadaan ini turut membawa kepada permasalahan yang saling berkait contohnya
seperti pendapatan negara tidak ditingkatkan dan bidang pertanian ini akan
dibiarkan berkubur. Tiada keajaiban yang dapat memajukan bidang pertanian
melainkan dengan usaha gigih semua pihak. Bidang pertanian bukan sahaja dapat
meningkatkan jumlah pendapatan isi rumah dan mengurangkan jumlah kemiskinan
malah ianya berpotensi untuk mendapat keuntungan yang lumayan. Perkembangan
teknologi moden dan aspek pengurusan perniagaan dalam bidang pertanian perlu
dipandang serius. Pengeluaran pertanian akan lebih bermutu, bernilai tinggi dan
meningkat sekiranya ia menggunakan sumber yang optimum. Perniagaan berasaskan
pertanian perlu lebih diberi perhatian dan keutamaan kerana ianya boleh memberi
manfaat dan faedah kepada masyarakat dan negara. Generasi muda perlu menghayati
ilmu pertanian dan cuba mengambil risiko menceburi bidang ini. Kekurangan
lapisan anak muda menceburi bidang ini amatlah berkurangan. Pengetahuan asas
mengenai bidang pertanian haruslah bermula dari rumah agar dapat memupuk minat
anak muda di dalam bidang ini. Selain itu pendidikan di dalam bidang pertanian
ini juga memainkan peranan yang penting agar inovasi dapat dilakukan dan
menguntungkan negara. Kerajaan banyak memberi bantuan dan sokongan kepada
petani dan pengusaha yang ingin menjadikan bidang pertanian ini sebagai salah
satu bidang perniagaan. Pelbagai projek dan program di anjurkan oleh agensi
kerajaan bagi menyokong para petani dan pengusaha ladang. Kemajuan bidang
pertanian ini tidak akan berjaya sekiranya dilakukan oleh sebelah pihak sahaja.
Semua pihak yang terlibat yang merangkumi seluruh masyarakat, para petani dan
pengusaha, kerajaan dan sebagainya perlu memainkan peranan mereka bagi
pembangunan dan kemajuan bidang pertanian ini.
Lampiran :
http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/pertanian/petani-perlu-pelapis-1.350166
Lampiran :
http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/pertanian/petani-perlu-pelapis-1.350166